mutakhir

Jawatankuasa Khas Bantuan Makanan ditubuhkan

Oleh Mohd Roji Kawi

KERAJAAN Sarawak sedaya upaya memastikan tiada golongan berpendapatan rendah tercicir daripada menerima bantuan keperluan makanan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita,Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bagi memastikan kelancaran pengagihan bantuan itu, Jawatankuasa Khas Bantuan Makanan ditubuhkan.

Menurutnya, jawatankuasa itu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, bertanggungjawab memastikan bekalan mencukupi serta memastikan kumpulan sasar tidak terlepas menerima bantuan.

“Semalam jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat pertama dan menetapkan beberapa langkah antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan bekalan keperluan asas mencukupi.

“Jawatankuasa juga akan meneliti modus operandi pembelian dan pengedaran, lojistik, meneliti senarai kumpulan sasar serta mentaksir perbelanjaan.

“Dalam memastikan kelancaran pengagihan bantuan kepada kumpulan sasar, kami menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBN terdiri daripada Residen, Pegawai Daerah, wakil rakyat, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Fatimah berkata, antara keperluan asas yang akan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan ialah beras, gula, minyak masak, teh, kopi, biskut dan mi segera.

“Apabila PKP dilanjutkan, ramai golongan miskin, berpendapatan rendah dan yang bergaji hari merasai kesannya.

“Mereka menghadapi masalah kewangan bagi menyediakan keperluan makanan untuk keluarga sementara menunggu pengagihan bantuan kewangan untuk golongan B40 yang akan dibayar pada penghujung April bagi yang mempunyai akaun bank dan pada bulan Mei bagi yang tiada akaun bank,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 11:52am
d