mutakhir

PPM ketatkan kawalan di perairan Sabah

Oleh Juwan Riduan

SEMUA bot kumpit dan bot membawa ikan dari Indonesia serta Hong Kong disekat untuk memasuki perairan Sabah buat masa ini hingga kerajaan memberi arahan lanjut.

Komander Pasukan Polis Marin(PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, setakat ini ada tiga sekatan utama yang diberi keutamaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Pertama mengekang kemasukan bot kumpit dari Indonesia dan ia diharamkan sama sekali untuk memasuki Sabah pada masa ini. Kedua bot atau kapal dari Indonesia ke Sabah dan juga kapal Hong Kong untuk membawa ikan hidup ke negeri ini.

“Baru-baru ini kita menghalau sebuah bot kumpit yang cuba masuk ke perairan Sandakan. Kini kita ada enam buah lagi masih ada di Sabah iaitu empat di Sandakan dan dua di Tawau.

“Kita mengarahkan kumpit ini untuk dihalau keluar dari Sabah, tapi ada sedikit kekangan daripada segi masalah dokumentasi dan beberapa dokumen yang perlu diselesaikan. Selepas sahaja selesai, mereka akan dihalau keluar dari Sabah secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Ops Covid-19 di perairan Pulau Gaya, Sabah pagi tadi.

Sementara itu, sepanjang Op Covid-19 ini, beliau berkata, sejumlah 22 bot ronda sudah melakukan operasi dengan kekuatan seramai 320 orang di seluruh Sabah.

“Bagi menguatkuasakan PKP di Sabah, PPM sudah mengenal pasti 14 check point iaitu di Labuan, Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

“Selain menguatkuasakan PKP di seluruh perairan di Sabah, pasukan PPM juga memfokuskan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, PPM sudah membuat empat kes penangkapan sepanjang PKP dijalankan iaitu tiga kes di Kudat dan satu kes di Kota Kinabalu.

“Saya mengharapkan masyarakat maritim mematuhi PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dan pasukan PPM terus memberikan komitmen yang baik bagi memastikan masyarakat komuniti maritim mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 2:40pm
d