mutakhir

FAMA beli empat tan rock melon

Oleh Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang berusaha membantu seorang pekebun rock melon (tembikai wangi) dengan membeli empat tan hasil dijangka keluar minggu depan.

Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, usaha berkenaan dilakukan bagi mengelak kerugian ditanggung pekebun terbabit yang tidak dapat memasarkan hasil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19.

Menurutnya, FAMA membeli hasil rock melon gred premium keluaran pekebun, Azeyzul Hamzah di Kampung Sai Gua, Kuala Lipis, yang mempunyai ladang seluas lebih satu hektar menggunakan sistem harga lantai yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Katanya, pihaknya turut membantu mempromosi dan menjual secara atas talian yang kini semakin terkenal dalam kalangan pengguna penduduk negara ini.

“Pengguna boleh membuat pesanan sebelum buah akan sampai ke rumah mereka dalam masa beberapa hari sahaja.

“FAMA sentiasa berusaha untuk membantu golongan pekebun terutama ketika PKP dilaksanakan hingga 14 April apabila mereka tidak dapat memasarkan hasil pertanian hingga menjejaskan pendapatan.

“Sebelum ini, kami turut membeli tembikai pekebun di Kampung Ubai, Kuantan dengan harga lantai 70 sen sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, FAMA menyediakan kemudahan peti sejuk di beberapa daerah bagi menyimpan hasil pertanian sesuai dan apabila ada pasaran, petani mengambilnya untuk dijual kepada pemborong selain menjual sendiri.

Menurutnya, petani berhadapan masalah pasaran perlu turut sama memikirkan kaedah terbaik bagi mengelak menanggung kerugian dan FAMA turut membantu menyediakan kemudahan termasuk pengangkutan.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 4:06pm
d