mutakhir

Tidak hirau PKP leka minum pagi

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SEKUMPULAN individu dilihat leka berborak sambil menikmati minum pagi di sebuah kedai kopi di Kampung Chenulang, Kuala Krai tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Mereka bagaimanapun sempat melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis dalam kejadian 7.30 pagi pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, ketika itu, anggotanya sedang menjalankan rondaan dan menerima aduan daripada penduduk sekitar.

Katanya, difahamkan kedai kopi berkenaan dilihat sering kali dikujungi penduduk kampung untuk berkumpul dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam tempoh penguatkuasaan PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Menyedari kehadiran pihak polis, lima hingga enam individu yang sedang leka minum di kedai kopi itu sempat melarikan diri dan pemilik kedai diambil tindakan kerana melanggar peraturan.

“Manakala kerusi dan meja di kedai kopi disita dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, pihaknya sentiasa membuat rondaan di kawasan premis kedai makan dengan memberi nasihat kepada masyarakat supaya tidak berada di luar dan pulang ke rumah masing-masing selepas selesai urusan pembelian.

“Masyarakat tidak seharusnya memandang remeh isu penularan wabak Covid-19 kerana ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menanganinya.

“Dengarlah nasihat pihak berkuasa dan jangan sesekali mementingkan diri sendiri, sebaliknya dalam keadaan sekarang, semua orang harus kekal berada di dalam rumah dan jangan keluar tanpa alasan yang kukuh,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 4:08pm
d