mutakhir

Operasi nyahcemar Covid-19 mulai 30 Mac ini [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KERAJAAN akan melaksanakan operIasi pembersihan dan nyahcemar wabak Covid-19 di kawasan berisiko tinggi dan kawasan awam seluruh negara, mulai 30 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses berkenaan akan dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, kementerian itu diberi tanggungjawab untuk proses nyahcemar melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memulakan operasi pada 23 Mac lalu dengan melakukan proses nyahcemar di 11 pasar di Lembah Klang.

“Pembersihan dan nyahcemar itu turut dilakukan di kawasan Sri Petaling pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau berkata, pada peringkat awal proses nyahcemar itu akan tertumpu di kawasan berisiko dan tempat tumpuan awam.

Selepas itu, katanya, proses sama akan dilakukan dari rumah ke rumah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 5:43pm
d