mutakhir

Kerajaan boleh berbelanja kerana terdesak

Oleh Suraya Roslan

KUASA mentadbir negara yang diberi kepada Perdana Menteri dan anggota Kabinet membolehkan kerajaan membuat satu keputusan mengikut Artikel 39 Perlembagaan Persekutuan untuk berbelanja terlebih dulu sebelum mendapat kelulusan Parlimen.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion adalah bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

“Namun ada pihak yang mempersoalkan, apakah boleh kerajaan berbelanja sebanyak RM250 bilion sebagai pelan penyelamat (rescue plan) dengan tidak mendapat kelulusan Parlimen terlebih dulu?

“Dalam keadaan amalan biasa, setiap perbelanjaan kerajaan mengambil sumber daripada dana yang disatukan (consolidated fund) perlu mendapat kelulusan daripada Parlimen terlebih dulu seperti mana sistem yang kita warisi dari England, Westminster Model of Government.

“Bagaimanapun, dalam situasi tertentu, seperti negara dilanda Covid-19 sekarang dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Parlimen tidak dapat dipanggil bersidang untuk meluluskan perbelanjaan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, proses pemanggilan Parlimen bersidang mengikut peraturan tertentu manakala kedua persidangan Parlimen membabitkan ratusan Ahli Parlimen dan pegawai berkumpul di Parlimen.

“Daripada sudut kedudukan keselamatan berkenaan jangkitan Covid-19 adalah tidak wajar dan perlu dielakkan untuk bersidang.

“Dalam masa sama keperluan negara sangat mendesak. Ekonomi negara perlu dijaga, industri dan perniagaan perlu dibantu.

“Rakyat perlu sumbangan dan bantuan kerajaan kerana terjejas teruk akibat wabak Covid-19 disebabkan itu atas kuasa mentadbir negara diberi kepada Perdana Menteri dan anggota Kabinet kerajaan untuk berbelanja terlebih dulu sebelum mendapat kelulusan Parlimen,” katanya.

Katanya, perbelanjaan itu boleh dibentang mengikut Peruntukan Tambahan di Parlimen pada persidangan Mei nanti.

“Kerajaan terpaksa berbelanja secukupnya. Tidak boleh ala kadar dan seperti melepaskan batuk di tangga, kalau nak berbelanja biar ia berkesan.

“Itulah jumlah RM250 bilion yang dibentangkan dan perlu dibelanjakan,” katanya.

Wan Junaidi berkata, mengikut Artikel 39 Perlembagaan Persekutuan di bawah kuasa eksekutif, Kabinet, Perdana Menteri mempunyai bidang kuasa untuk mengurus dan mentadbirkan negara sebaik yang boleh.

“Kerajaan boleh mengambil keputusan eksekutif untuk mengeluarkan sumber kewangan daripada dana sedia ada dan juga dari dana yang disatukan (Consolidated fund) dalam situasi hampir sama dengan darurat ini.

“Ketika wabak Covid-19 ini, kerajaan berpandangan menyelamatkan negara dan rakyat adalah amanah utama dan fungsi yang mesti ditunaikan dan perlu dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 5:57pm
d