mutakhir

Covid-19: Kit ujian pantas dari Korea Selatan sudah tiba

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM), sudah menerima kit ujian pengesanan pantas antigen dari Korea Selatan, semalam bagi mengesahkan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kit ujian pengesanan pantas antigen itu akan ditambah lagi 200,000 unit, jika terbukti berkesan.

Menurutnya, sebelum ini KKM menggunakan kit saringan dari China namun ketepatannya kurang memuaskan.

“Kit dari Korea Selatan ini sudah diterima malam tadi.

“Pegawai kita masih membuat penilaian di Hospital Sungai Buloh dan setakat ini tiada sebarang laporan diterima.

“Kita juga menerima 100,000 kit dari China, tengah hari tadi,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, jenama diperolehi dari republik China itu adalah berlainan diterima sebelum ini.

Pihak China, katanya, mengatakan kit kali ini lebih tepat, berbanding sebelumnya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, ujian pengesanan antigen menerusi kit yang diterima dari China kurang tepat, selain Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti ubat atau jenama diberikan tidak sesuai untuk digunakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 7:17pm
    d