mutakhir

Lelaki bunuh diri itu disahkan negatif Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang pesakit membunuh diri di Hospital Serdang adalah negatif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki sebaliknya mempunyai penyakit lain yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, mengikut operasi prosedur standard (SOP) ketika ini semua pesakit ICU di hospital disaring untuk Covid-19.

“Dia sebenarnya bunuh diri,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Media terdahulu hari ini melaporkan, seorang pesakit dalam pemantauan (PUI) Covid-19 yang dirawat di Hospital Serdang ditemui meninggal dunia di dalam tandas wad hospital berkenaan dipercayai membunuh diri, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan berkata, dalam kejadian pada 7.40 malam, pondok polis Hospital Serdang menerima maklumat daripada seorang jururawat hospital itu yang memberitahu pesakit berkenaan membunuh diri di tandas wad 7D.

“Mangsa berusia 62 tahun dipercayai mendaftar masuk ke hospital berkenaan pada 26 Mac lalu pada 2.30 pagi.

“Susulan laporan yang diterima, pegawai penyiasat kanan, ketua polis balai dan jurugambar hadir ke lokasi kejadian.

“Pihak polis dibekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk keselamatan bagi merakam gambar di tempat kejadian dari jarak jauh.

“Percakapan pengadu yang juga anggota polis di pondok polis berkenaan serta jururawat hospital, waris dan saksi turut dirakam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata mayat itu diuruskan oleh pihak hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 7:34pm
    d