mutakhir

Covid-19: Contohi China lindungi zon hijau

Oleh Amir Abd Hamid

MALAYSIA melaksanakan konsep melindungi zon hijau bebas Covid-19 seperti diamalkan di China.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, republik itu menyekat sepenuhnya pergerakan atau perintah berkurung di Wuhan dan Hubei bagi melindungi Beijing.

Beliau berkata, dalam beberapa telesidang bersama negara lain di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga ada dibincangkan mengenai kaedah memutuskan rantaian Covid-19.

“Dua kawasan kampung di Simpang Renggam, Johor dengan 87 orang positif menjadi lokasi pertama dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

“Selain itu, kami memantau secara rapat semua kawasan panas (zon merah) dan sekiranya perlu akan bertindak lanjut yang pada masa sama lindungi zon hijau,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah malam 26 Mac lalu hanya 36 daerah bebas Covid-19 atau kategori zon hijau di negara ini.

Sementara itu, katanya, KKM sudah melakukan saringan seramai 17, 584 jemaah tabligh dan 12,500 sampel diambil daripada mereka.

Menurutnya, jumlah positif Covid-19 bagi kluster itu adalah 1,207 dan negatif 6,648 orang.

“Jumlah ujian saringan menunggu keputusan adalah 4,645 dan kami perlu mencari 5,084 orang lagi (kluster tabligh) yang masih dikehendaki bagi ujian saringan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 8:29pm
    d