mutakhir

Rakyat Selangor berdoa

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru seluruh umat Islam di negeri itu untuk bersama-sama mengikuti program ‘Rakyat Selangor Berdoa’ untuk menzahirkan ikhtiar dan usaha dengan memohon bantuan dari Allah SWT.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan, menerusi program itu, umat Islam di Selangor akan berzikir dan berdoa membesarkan kuasa Allah SWT untuk mendapatkan keselamatan, kerahmatan, keampunan dan perlindungan dari segala ancaman wabak penyakit.

“JAIS memandang serius penularan wabak Covid-19 di seluruh negara terutamanya di Selangor. Justeru, JAIS ingin menyeru seluruh umat Islam di negeri ini untuk bersama-sama mengikuti program ini sebagai ikhtiar dan usaha.

“Program ini akan dilaksanakan dengan cara #stayathome iaitu seluruh umat Islam di Selangor akan bersama bersama berzikir memuji dan membesarkan Allah SWT di rumah masing-masing bersama ahli keluarga pada 30 Mac (Isnin) dan 2 April (Khamis) jam 8.50 malam (selepas solat Isyak),” katanya.

Beliau berkata, imam surau, musollah dan masjid akan mengalunkan bacaan zikir memuji dan membesarkan Allah melalui alat pembesar suara (tanpa jemaah) dan seterusnya akan membaca dengan bacaan doa.

Katanya, selain itu, umat Islam juga boleh mengikuti bacaan zikir dan mengaminkan bacaan doa ini secara langsung di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) (www.facebook.com/masjidssaas) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong (MTAJBJ) (www.facebook.com/MTAJBJ).

“JAIS ingin menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor untuk bersama mengalunkan bacaan zikir dan berdoa agar seluruh rakyat di negeri diberikan kekuatan mental, fizikal dan kesabaran yang tinggi terutama kepada barisan hadapan dan pemimpin negara yang bertungkus lumus bertugas demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh negara dilanda jangkitan Covid-19 ini.

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), duduklah di rumah bersama keluarga yang dikasihinya dengan mengisi masa sebaik-baiknya seperti beribadah bersama keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 10:38pm
d