mutakhir

Lelaki bakar hutan simpan ditahan [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki dan memburu beberapa lagi individu yang disyaki membakar kawasan hutan simpan di Sik, bagi tujuan pertanian

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada 5 petang 19 Mac lalu, di kompartmen 16 Hutan Simpan Bukit Enggan, Sik.

Katanya, lelaki terbabit dipercayai mula membakar hutan berkenaan pada waktu tengah hari pada 19 Mac sebelum disedari anggota jabatan yang melakukan tugas rondaan pemantauan.

“JPNK bersama bomba mengambil masa lima hari bagi memadam kebakaran di kawasan itu, namun ketika operasi memadam dilakukan di kawasan itu, satu lagi kebakaran dikesan di Hutan Simpan Terenas, Sik, pada 22 Mac.

“Pihak bomba mengalami kesukaran memadam kebakaran di Hutan Simpan Terenas berikutan bentuk muka buminya yang bercerun dan tiada punca air.

“Berikutan itu, kaedah bom air terpaksa diguna bagi memadam kebakaran di Hutan Simpan Terenas dan sehingga kini ia masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, antara kawasan hutan simpan lain yang terbakar sebelum ini adalah Hutan Simpan Bukit Perangin, Kubang Pasu pada 18 Mac dan Hutan Simpan Pedu, Padang Terap pada 23 Mac.

Semua kebakaran sudah dipadam dan kawasan kebakaran dianggarkan melebihi 20 hektar dengan kerugian bernilai jutaan ringgit.

“Semuanya berpunca daripada sikap individu yang tamak mahu ‘membuka’ hutan dengan tujuan menanam pokok getah dan buah-buahan.

“Mereka mengambil kesempatan membakar hutan simpan ketika musim kemarau dan melanggar perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 9:46am
d