mutakhir

2 pengamal media kena kurantin 14 hari

Oleh Mohamed Farid Noh

DUA lagi pengamal media Johor diarah menjalani kuarantin 14 hari di rumah selepas dikesan mempunyai simptom Covid-19.

Mereka adalah jurugambar dan wartawan media cetak tempatan yang masing-masing berusia 32 dan 27 tahun.

Jurugambar berkenaan ketika dihubungi, berkata arahan menjalani kuarantin itu selepas membuat saringan di sebuah hospital kerajaan di sini pagi tadi berikutan mengalami demam dan batuk.

“Selepas menjalani pemeriksaan dan memaklumkan kami mempunyai kontak rapat dengan seorang lagi rakan media yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah semalam, kami kemudian diarahkan menjalani kuarantin 14 hari bagi siasatan lanjut.

“Anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan akan membuat pemeriksaan lanjut di rumah kami petang ini dan mengarahkan kami mengasingkan diri di dalam bilik dan mengelakkan berada bersama keluarga, ”katanya.

Semalam,seorang pengamal media di sini, dilaporkan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari selepas dikesan mempunyai simptom wabak Covid-19.

Wartawan media elektronik yang berusia 34 tahun itu dilaporkan, diarahkan menjalani kuarantin di rumahnya dengan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat pemantauan harian terhadapnya di rumah.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor (KMJ) , Mohammad Fauzi Ishak meminta semua petugas media di negeri ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan ketika bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam,Kluang

“Perlu sentiasa membuat penjarakan sosial satu meter dengan sesiapa juga dan digalakkan memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di lapangan di samping menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Saya juga menyarankan semua sidang media secara berdepan ditangguhkan atau dibuat menerusi dalam talian dengan media disediakan kenyataan bertulis yang diagihkan menerusi kumpulan media sosial yang ada.

“KMJ sudah mengagihkan 100 botol cecair pembasmi kuman kepada penggamal media negeri sebelum ini dan minggu depan sebanyak 20 kotak penutup mulut dan hidung akan diagihkan kepada semua penggamal media Johor, ” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 1:59pm
d