mutakhir

Payah berlaku jangkitan Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid

JANGKITAN Covid-19 boleh berlaku daripada manusia kepada haiwan namun kebarangkalian terjadinya kejadian seumpama amat rendah.

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia Profesor Dr Abdul Rahman Omar berkata, banyak faktor berkaitan manusia, haiwan dan persekitaran memainkan peranan dalam hal ini.

“Boleh berlaku kemungkinan virus Covid-19 daripada manusia dipindahkan ke haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing. Bagaimanapun kemungkinan untuk ini berlaku adalah sangat-sangat rendah.

“Haiwan yang dijangkiti mungkin tidak menunjukkan tanda jangkitan atau mengalami tanda jangkitan yang rendah.

“Apa yang penting risiko untuk haiwan yang dijangkiti bagi menyebarkan virus berkenaan kepada manusia adalah sangat-sangat rendah,” katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp, hari ini.

Justeru, katanya, orang ramai tidak perlu risau tetapi adalah penting mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya disahkan positif Covid-19 iaitu perlu mengasingkan diri daripada orang lain termasuk haiwan pelihara mereka.

Media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa kesihatan Belgium melaporkan terdapat satu kes Covid-19 membabitkan seekor kucing yang dijangkiti daripada tuannya yang juga seorang wanita.

Kes berkenaan adalah pertama seumpamanya dilaporkan membabitkan kucing dan Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit Institut Kesihatan Belgium Steven van Gucht berkata, ia disifatkan kes terpencil.

Terdahulu, pihak berkuasa Hong Kong dilaporkan berkata, dua anjing dikesan positif Covid-19 di negara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 2:40pm
    d