mutakhir

MRA minta kaji semula arahan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN diminta memperhalusi semula arahan tidak membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan terus kepada golongan terjejas akibat Covid-19.

Presiden Malaysian Relief Agency (MRA) Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, mesyuarat koordinasi antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan agensi kerajaan terbabit dengan wakil NGO bantuan kemanusiaan perlu diadakan segera bagi membincangkan perkara berkenaan.

Menurutnya, MRA bimbang sekiranya pek sumbangan makanan yang diletakkan di pusat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa bantuan edaran daripada NGO tidak sampai ke kumpulan sasaran.

Katanya, ini kerana proses pengedaran membabitkan tenaga manusia yang ramai selain kawasan geografi penghantaran yang luas.

“MRA memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak membenarkan NGO menyampaikan barangan makanan dari rumah ke rumah sebaliknya menghantar ke pusat JKM bagi tujuan pengedaran.

“JKM sendiri memang sudah sedia sibuk menguruskan pusat kuarantin yang banyak dibuka bagi menangani wabak ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, MRA juga sebelum ini sudah mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesihatan untuk menyampaikan sumbangan peralatan perubatan dan pek makanan kepada ribuan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Katanya, MRA juga akan mengedar Alat Perlindungan Diri (PPE) bergred tinggi, cecair nyah kuman, ratusan ribu topeng muka dan mesin bantuan pernafasan bagi kegunaan kakitangan Unit Rawatan Rapi di hospital negeri dan daerah di seluruh negara hasil sumbangan penderma.

Beliau berkata, dengan adanya surat dari KKM ini, ia amat membantu MRA bagi melaksanakan edaran ini sewaktu PKP dilaksanakan.

“MRA menyantuni golongan yang putus bekalan makanan melalui sumbangan pek makanan kepada asnaf miskin di bandar dan pedalaman, orang kurang upaya, anak yatim, mahasiswa di univeristi, komuniti Orang Asli, penduduk tanpa dokumen di Sabah dan komuniti pelarian di Malaysia.

“Sumbangan makanan ini membabitkan hampir 5,000 keluarga penerima dari seluruh negara dan bakal meningkat setiap hari.

“Kami juga menyasarkan 3,000 keluarga asnaf yang terputus bekalan di kawasan Lembah Klang dan Selangor akan disantuni melalui program edaran pek makanan dalam masa terdekat selain sedang bekerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia bagi membantu 1,000 keluarga,” katanya.

Menurutnya, MRA mengalu-alukan sumbangan ke Tabung Bantuan Covid-19 MRA menerusi Bank RHB Malaysian Relief Agency Foundation melalui akaun 26424500007270.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 3:42pm
    d