mutakhir

Johor sambut baik Pakej PRIHATIN

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JOHOR menyambut baik langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan pusat menerusi pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada Jumaat lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion itu adalah peruntukan yang besar dan membuktikan kerajaan komited dalam memastikan rakyat pelbagai lapisan di negara ini mendapat manfaat tatkala berhadapan dengan tempoh sukar.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) daripada April hingga Jun depan yang diumumkan sebelum ini kepada tempoh enam bulan bermula April hingga September, membabitkan jumlah keseluruhan 11,938 penyewa.

“Kerajaan negeri juga memberikan pengecualian sewaan untuk semua premis perniagaan milik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula April hingga Disember.

“Rakyat Johor diharap dapat menggunakan peruntukan yang disalurkan itu dengan sebaik-baiknya mengikut saranan kerajaan bagi menghadapi tempoh yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya menyeru semua rakyat Johor supaya mematuhi segala arahan yang diberi dan sentiasa menjaga kesihatan, kebersihan dan keselamatan diri.

“Bagaimanapun, apa yang penting ialah duduk di rumah supaya kita dapat memutuskan rangkaian wabak yang membawa maut ini.

“Di kesempatan ini, saya ingin menyeru orang ramai berdoa, semoga negara ini khususnya rakyat negeri Johor sentiasa dilindungi Allah S.W.T serta semoga wabak Covid-19 ini berakhir dengan segera,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 3:44pm
d