mutakhir

Hasil penutup muka guna mesin pencetak 3D

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempamerkan kreativiti tersendiri apabila menghasilkan penutup muka menggunakan mesin mencetak jenis tiga dimensi (3D Printer).

Penutup muka bagi tujuan perlindungan ketika menjalani rawatan dan saringan Covid-19 itu akan digunakan pasukan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas Covid-19 UniSZA.

Pegawai Latihan Vokasional UniSZA, Mohd Hazim Abd Aziz berkata, penutup muka itu dihasilkan dengan filamen, kertas A4 lutsinar dan peralatan lain dengan semua bahan itu dibeli menggunakan wang sumbangan pelbagai organisasi dan orang ramai.

“Sebanyak 271 penutup muka dihasilkan dalam tempoh empat hari dengan setiap satu mengambil masa 40 minit untuk disiapkan.

“Kami bekerjasama dengan Skuad Bantu sebagai pembekal fasiliti dan peralatan seperti mesin pencetak 3D seterusnya melancarkan kerja penghasilan penutup muka itu.

“Skuad Bantu adalah kumpulan sukarelawan bantuan pencegahan Covid-19 yang ditubuhkan bagi operasi bantuan di Pantai Timur,” katanya.

Menurutnya, pihaknya dan Skuad Bantu terdorong menghasilkan penutup muka itu berikutan berlaku kesukaran untuk mendapatkannya di pasaran.

Katanya, mereka berharap inisiatif UniSZA menghasilkan penutup muka itu membantu semua pihak yang memerlukan ketika menjalankan tugas.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 4:18pm
d