mutakhir

Bekalan makanan tidak pernah putus

Oleh Adnan Ibrahim

“ALHAMDULILAH, makanan yang disalurkan tidak pernah putus, apatah lagi pihak berkaitan tidak pernah lekang sentiasa berhubung untuk mengetahui keadaan kami,” kata penduduk Kampung Parit Salam, Rafidah Lokman,42.

Menurut Rafidah, walaupun tidak ada yang dapat dilakukan diluar rumah namun ia digunakan untuk menghabiskan masa bersama keluarga selain mengulang kaji pelajaran bagi anak-anak yang bersekolah.

Katanya, walaupun Kampung Parit Salam terletak satu kilometer dari Kampung Datuk Ibrahim Majid namun mereka juga terbabit secara langsung dalam Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD) sejak tiga hari lalu.

“Sesungguhnya semua penduduk di kampung ini takut dengan wabak Covid-19 ini apatah lagi kebanyakkan penduduk adalah golongan warga emas.

“Suasana dalam kampung pula tidak seperti biasa kerana pergerakkan amat terhad sehingga nak pergi rumah emak yang terletak tidak sampai 10 meter pun takut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Parit Salman, Hafrizan Kaliwoon, 45, berkata pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ada menghubungi penduduk di kampung berkenaan untuk mendapatkan maklumat data terkini isi rumah.

Katanya, apa yang dilakukan oleh penduduk kampung itu ketika ini hanya menunggu sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pihak JKNJ mengenai sebarang tindakan yang perlu dilakukan berkaitan kesihatan mereka.

“Untuk makanan, kami kini tidak perlu bimbang kerana pihak berkaitan sudah melaksanakan tugas mereka dengan sebaik-baiknya termasuk memberanikan diri datang ke setiap rumah untuk mengagihkan makanan.

“Kami juga berterima kasih kepada pihak keselamatan yang dilihat sentiasa membuat rondaan bagi memantau keadaan kampung supaya tidak ada perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 5:04pm
d