mutakhir

Api sampah punca bau busuk

Oleh Nor Farhani Che Ad

BAU busuk yang melanda Sungai Petani disebabkan pembakaran berpanjangan sampah dan bukan berpunca daripada aktiviti kilang kitar semula plastik.

Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, siasatan mendapati bau busuk itu berpunca dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Semeling.

Menurutnya, tapak pelupusan yang kerap terbakar walaupun sudah dipadam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu kini masih berasap.

“Bau busuk itu bukan berpunca daripada kilang kitar semula plastik seperti didakwa penduduk kerana premis terbabit sudah tidak beroperasi.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) memastikan operator tapak menimbus lapisan tanah di permukaan tapak pelupusan sampah itu bagi menghapuskan asap dan bau yang dihasilkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masrizal berkata, kementeriannya sentiasa peka dengan pelestarian alam sekitar dan memastikan tidak berlaku pencemaran khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Menurutnya, pihak JAS akan menjalankan rondaan dan pemantauan termasuk menggunakan dron di sekitar Sungai Petani bagi memastikan tiada kilang kitar semula plastik beroperasi.

“JAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas jika terdapat pihak yang masih berdegil,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 5:54pm
d