mutakhir

Ops nyah cemar di Ipoh bermula

Oleh Balqis Jazimah Zahari

MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melakukan operasi proses nyah cemar di Bandaraya Ipoh, hari ini.

Jurucakap MBI berkata, operasi nyah cemar secara besar-besaran itu dilakukan di sekitar pejabat MBI dan pasar awam.

“Hari ini kita memberi tumpuan untuk menjalankan operasi proses nyah cemar di pasar Tanjung Rambutan bermula 2 petang tadi.

“Selain itu, proses nyah cemar dibuat di medan selera, manakala lokasi lain akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi menangani penularan Covid-19,” katanya.

Jurucakap JBPM Perak berkata, kawasan yang dikenal pasti bagi menjalankan proses nyah cemar dibuat hasil perbincangan dengan MBI di bawah Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Perak.

Menurutnya, sepasukan lima anggota Hazmat menjalankan tugas sanitasi di platform dan sekitar stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ipoh selama dua jam bermula 9 pagi.

“Proses sanitasi dilakukan dengan teknik semburan di bahagian permukaan yang dikhuatiri boleh menyebabkan penyebaran wabak Covid-19 melalui sentuhan,” katanya.

Katanya, proses sanitasi juga dilakukan di platform dan kawasan sekitar stesen Bas Ekspres Sri Maju selain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 6:27pm
    d