mutakhir

Dua lelaki didakwa ingkar PKP

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Tertuduh, Mohd Sharafi Mohammad, 39, dan Mohammad Hafiz Mat Suki, 27, didakwa mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sharafi didakwa bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan iaitu di belakang Balai Raya Kampung Duyung Kecil, tanpa kebenaran jam 1.05 tengah hari semalam.

Mohd Sharafi yang mengaku bersalah mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Mohammad Hafiz pula berdepan dua pertuduhan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Mohammad Hafiz didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Shahimi Mat Bakki kerana enggan berhenti dan bertindak melarikan diri semasa diarahkan di Jalan Hulu Takir Seberang Takir, Kuala Nerus, jam 4.15 petang pada 26 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Mohammad Hafiz yang mengaku bersalah berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mohammad Hafiz yang bekerja di pelantar minyak mengaku tidak bersalah bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan iaitu di Jalan Hulu Takir, Seberang Takir, Kuala Nerus, tanpa kebenaran jam 4.15 petang, pada 26 Mac lalu.

Mahkamah menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Penolong Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Roszita Md Saad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 7:13pm
d