mutakhir

JCorp dan kumpulannya beri bantuan

Oleh Mohamed Farid Noh

JOHOR Corporation (JCorp) dan kumpulannya memberikan komitmen untuk terus membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata antara bantuan JCorp dan kumpulan termasuk sumbangan berjumlah RM3 juta bagi membiayai pembelian 20 unit mesin bantuan pernafasan (Respiratory Ventilator Machine – RVM)) bagi keperluan mangsa Covid-19 di seluruh Johor.

Beliau berkata, bantuan ini disumbangkan oleh JCorp dan syarikat Kumpulan termasuk KPJ Healthcare Berhad, Kulim (M) Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Johor Land Berhad, Damansara REITS Managers Sdn Bhd, Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) serta Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp).

“Sumbangan ini sudah disalurkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) selaku badan yang menguruskan bantuan dan pembelian RVM berkenaan untuk memenuhi sebahagian daripada 40 unit RVM yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Syed Mohamed berkata, Kulim menerusi anak syarikatnya, Kulim Pineapple Farm (KPF) juga menyumbang sejumlah 13,276 produk dalam bentuk nanas segar, nanas potong dan air nanas tin jenama Melita bernilai RM36,590 kepada anggota barisan hadapan.

Ia termasuk kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Ulu Tiram dan Cyberjaya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Balai Polis (BP) Ulu Tiram, BP Pelabuhan Tanjung Langsat, BP Bandar Tenggara, BP Mersing, BP Kahang, BP Ulu Cyberjaya serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD KLIA.

Sumbangan produk Melita juga dihantar kepada petugas di Poliklinik dan Pejabat Kesihatan Ulu Tiram, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Permai, Hospital KPJ Johor dan Hospital KPJ Puteri, Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang, Pejabat Kesihatan Sepang, FELDA Nitar 1, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya serta Gombak selain Maahad Tahfiz Hulu Langat.

Beliau berkata, sumbangan makanan seumpamanya juga dilaksanakan oleh rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di beberapa negeri sejak beberapa minggu lalu.

Tambah Datuk Syed Mohamed, sebahagian anggota Briged Waqaf pula sudah digerakkan untuk membantu mengedarkan risalah pencegahan Covid-19 kepada orang ramai di kawasan bangunan yang diuruskan oleh DASB serta melakukan kerja memeriksa suhu badan pelanggan di pintu masuk bangunan.

“Pasukan Briged Waqaf turut menyalurkan barangan makanan keperluan kering seperti biskut, air mineral dan sebagainya kepada petugas barisan hadapan termasuk polis bantuan, petugas hospital dan tentera.

Briged Waqaf juga sudah memesan sebanyak 20 unit pengukur suhu atau termometer bernilai RM7,600 untuk disumbangkan kepada ATM yang akan diserahkan pada 30 Mac ini.

“Dalam keterbatasan pergerakan sekarang, WANCorp turut menukar kaedah sesi perkongsian ilmu yang biasa dianjurkan oleh rangkaian enam masjidnya menerusi Siri Kuliah Online di FB WANCorp yang dapat ditonton setiap malam pada jam 7.45 malam hingga 8.30 malam,” katanya.

Beliau berkata, WANCorp juga tidak ketinggalan menggerakkan inisiatif pengumpulan dan menguruskan sumbangan wang tunai daripada anggota pekerja JCorp dan Kumpulan serta orang ramai mulai 24 Mac lalu menerusi apps QR Code bagi mengisi Dana Covid-19 atau menerusi pautan: http://toyyibpay.com/Tabung-Bantuan-Covid-19-.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui Akaun Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru: 01014010060023 (Bank Islam Malaysia Berhad).

Setakat 27 Mac, sejumlah RM35,000 berjaya dikumpulkan dan RM30,00 daripada dana ini sudah diagihkan semula kepada seramai 600 keluarga yang memerlukan di kawasan Taman Cendana dan Larkin yang terjejas teruk kesan dari Covid-19 ini.

Pada masa yang sama, Jabatan Komunikasi Strategik (SCD) JCorp dan syarikat dalam kumpulan juga, turut menularkan poster serta video kempen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan pencegahan jangkitan dan peringatan untuk mengelakkan penularan Covid -19 dengan terus mematuhi arahan PKP.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 7:58pm
d