mutakhir

Demi rakan sekampung

Oleh Adnan Ibrahim

WALAUPUN menyedari risiko dijangkiti virus maut, namun demi nasib rakan sekampung semua itu dilupakan asalkan mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD) dapat dibantu.

Penyelaras Malaysia Relief Agensi (MRA) Daerah Kluang, Shamsiah Shaaban berkata, seramai tiga daripada 10 anggota agensi berkenaan yang ada di Daerah Kluang terbabit secara langsung dalam gerakkan pengagihan bantuan makanan asas kepada penduduk sejak PKPD dilaksanakan di Kampung Datuk Ibrahim Majid serta kampung rangkaian yang lain.

Katanya, bukan berniat untuk mencari nama atau imbuhan namun apa yang dilakukan adalah atas dasar kemanusiaan dan membantu mereka yang kini dihimpit kepayahan apatah lagi ia membabitkan keperluan makanan.

“Sebagai penduduk di Simpang Renggam, semua petugas ini sudah tahu selok belok kedudukan rumah penduduk di dalam kawasan kampung yang terbabit.

“Oleh yang demikian, kehadiran kami bukan semata-mata untuk membantu mengagihkan bekalan makanan tetapi turut berperanan sebagai jurupandu jalan,” katanya.

Shamsiah berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakkan Bencana Covid-19 di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dekat sini hari ini.

Menurut Shamsiah, anggota pasukan MRA bukan tidak melakukan sebarang persiapan sebelum terbabit dengan kerja amal seperti ini namun semuanya sudah memahami apa yang perlu dilakukan.

“Disamping mengetahui kedudukan rumah penduduk, kami juga mengenali hampir keseluruhan penduduk di kampung ini dan melaluinya nanti tidak akan berlaku sebarang keciciran penerima khususnya mereka yang memesan keperluan seperti lampin pakai buang serta susu bayi.

“Saya yakin dengan penglibatan MRA dalam misi bantuan ini bukan sahaja mempercepatkan proses agihan disamping memastikan tiada rumah yang tertinggal,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 8:06pm
d