mutakhir

Galak pesakit guna Ubat Melalui Pos

Oleh Yun Mikail

PESAKIT atau individu memerlukan bekalan ubat susulan di Sabah digalakkan menggunakan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, inisiatif berkenaan dilihat mampu membantu mengurangkan pergerakan dalam kalangan penduduk setempat sekaligus menghindari kemungkinan penular Covid-19.

“Cara ini membolehkan ubat dihantar terus ke lokasi pilihan pesakit melalui pos dengan caj kiriman yang sudah ditetapkan dan semua caj akan ditanggung oleh pelanggan sendiri.

“Pelanggan juga perlu memastikan

alamat penghantaran adalah di dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan Pos Laju.

“Bagaimanapun, hanya ubat kapsul dan bukan jenis ubat psikotropik serta memerlukan penyimpanan khusus seperti peti ais sahaja boleh dihantar melalui perkhidmatan pos.

“Ubat dijangka diterima oleh pelanggan dalam masa seminggu selepas pengesahan pesanan dibuat pihak farmasi,” katanya.

Christina berkata demikian menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, kelmarin.

Sementara itu, beliau turut menyatakan kira-kira 900 premis di Sabah sudah diperiksa sepanjang pelaksanaan Operasi Bersepadu PKP.

Menurutnya, 20 premis di daerah Sandakan sudah diarahkan tutup mengikut Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Antara premis terbabit termasuklah lapan kedai makan, tiga bengkel, enam kedai runcit, dan tiga kedai serbaneka.

“Operasi ini membabitkan 209 anggota terdiri dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) seluruh negeri.

“Selain itu, dua orang kontak rapat di daerah Tawau dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 22, APPPB 1988,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 11:06am
d