mutakhir

Jenuh tunggu 3 tahun selesai masalah bah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“TAKKAN saya perlu berdepan masalah ini selama tiga tahun,” kata seorang penduduk Kampung Bangi yang mendakwa kawasan kediamannya sering dinaiki air dari anak sungai berhampiran apabila hujan lebat.

Pesara kerajaan berusia 62 tahun yang enggan dikenali itu berkata, masalah terbabit berlaku apabila satu projek perumahan baru dibuka awal tahun ini yang menyebabkan air mengalir ke anak sungai di kampungnya.

“Setiap kali hujan, air bersama lumpur akan melimpah ke kawasan kebun yang terletak bersebelahan rumah. Mujur kedudukan rumah saya agak tinggi, jadi air tidak masuk ke dalam rumah.

“Saya terpaksa membersihkan lumpur itu setiap kali selepas hujan kerana jika dibiarkan kering, ia akan mengeluarkan bau busuk.

“Lebih menyakitkan hati saya ialah pelbagai tanaman dan pokok buah-buahan saya hampir rosak disebabkan air lumpur itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lelaki terbabit mendakwa banjir kilat itu bukan saja berlaku di rumahnya sebaliknya beberapa rumah di Kampung Batu 4 dan Batu 5 yang terletak berhampiran turut terkesan.

Katanya, beliau sudah membuat aduan kepada pemaju perumahan dan ketua kampung untuk tindakan lanjut, malah beberapa wakil agensi kerajaan sudah hadir membuat tinjauan tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Masalah ini bukan sekali berlaku sebaliknya berulang kali apabila hujan. Saya diberitahu projek perumahan berkenaan mengambil masa tiga tahun untuk siap dan adakah saya akan berdepan masalah sama untuk tempoh itu,” katanya.

Beliau berharap tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pemaju demi keselesaan penduduk yang tinggal berdekatan taman perumahan terbabit.

Sementara itu, Jurutera JPS Daerah Hulu Langat Ir Sv Kalaiselvam ketika dihubungi berkata, pihaknya dan Majlis Perbandaran Kajang sedia maklum mengenai perkara itu dan sudah mengambil tindakan terhadap pemaju.

Menurutnya, pemaju perumahan mempunyai kolam takungan sendiri namun ia tidak mampu menampung jumlah air yang banyak apabila hujan lebat menyebabkan melimpah masuk ke anak sungai di kampung berhampiran.

“Kawasan kampung itu adalah tanah persendirian dan JPS tidak boleh menaik taraf sistem saliran di kawasan berkenaan.

“Apa yang kita lakukan adalah membuat cuci gali anak sungai berkenaan setahun sekali membabitkan kos kira-kira RM40,000.

“Mengikut jadual, kerja cuci gali di kawasan itu akan dilakukan pada April ini. Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan, mungkin kita perlu buat penjadualan semula,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 2:53pm
d