mutakhir

Operasi nyah cemar di Sarawak bermula [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

MEDAN Niaga Satok dan Pasar Stutong di Kuching menjalani proses sanitasi awam bagi menyekat rantaian penularan wabak Covid-19, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, operasi nyah cemar itu turut dibantu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kementerian Kesihatan serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata, operasi di lokasi tumpuan ramai itu selaras dengan arahan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selepas ini operasi akan diperluaskan ke seluruh negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di kawasan berkaitan,” katanya ketika ditemui di Medan Niaga Satok, hari ini.

Khirudin berkata, pihaknya turut mengharapkan ada pihak tampil membantu membekalkan cecair serta peralatan untuk memperluaskan lagi operasi nyah cemar itu.

“Bantuan ini diperlukan kerana lojistik sedia ada yang kami miliki hanyalah untuk keadaan biasa.

“Kami perlu melakukan lebih banyak lagi operasi besar-besaran khususnya di kawasan tumpuan ramai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah DBKU, Dr Morshidi Ahmad berkata, pihaknya sudah melakukan proses sanitasi di beberapa lokasi tumpuan dalam kawasan tanggungjawab sejak seminggu lalu.

“DBKU melaksanakan proses sanitasi itu di masjid, surau, tandas awam, perhentian bas dan pasar.

“Hari ini, kami mendapat bantuan agensi lain dan selepas ini dengan kerjasama pelbagai pihak, operasi boleh dilaksanakan dalam skala yang lebih besar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 4:28pm
    d