mutakhir

Elak hasil sendiri cecair pembasmi kuman

Oleh Asrol Awang

ORANG ramai dinasihat tidak menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman tanpa merujuk pihak yang berpengetahuan dalam bidang sains.

Penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datin Prof Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, langkah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ketika menghasilkan bahan terbabit.

Katanya, aspek utama ialah berhati-hati sekiranya menggunakan bahan kimia yang boleh mengundang kejadian tidak diingini seperti kebakaran yang boleh membahayakan diri.

“Ujian perencatan terhadap mikrob juga perlu dilakukan untuk memastikan tahap selamat digunakan tanpa kesan sampingan lain.

“Namun, perkara yang paling utama adalah produk yang dihasilkan mampu membunuh kuman,” katanya kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Dr Mimi Sakinah turut menasihatkan orang ramai yang ingin mendapatkan cecair pembasmi kuman supaya memeriksa kandungan label produk terlebih dahulu.

Katanya, paling utama adalah kandungan alkohol sama ada isopropyl alcohol atau ethanol dan peratusan yang sesuai untuk membunuh kuman antara 70 hingga 75 peratus.

Selain itu, katanya, pengguna perlu memastikan tiada kandungan yang berbahaya seperti triclosan, paraben dan bahan kimia lain iaitu ejen kanser atau gangguan terhadap hormon manusia.

“Sekiranya kulit sensitif, lebih baik memilih produk cecair berbentuk gel yang juga mengandungi aloe vera, glicerin serta vitamin E yang baik untuk menjaga kelembapan kulit.

“Namun apa yang lebih penting produk dihasilkan dari pengeluar yang mendapat pengiktirafan atau yang mendaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dr Mimi Sakinah turut berkongsi pengalaman selama lebih 12 tahun dalam penghasilan produk cecair pembasmi kuman yang dinamakan Germs Free Hand Sanitizer yang ditambah dengan ekstrak daun sireh bagi merencatkan pembiakan kuman.

Katanya, produk itu juga turut mengandungi aloe vera dan vitamin E yang sesuai untuk kulit.

“Berbeza dengan cecair pembunuh kuman sedia ada di pasaran, ia dapat mengelakkan masalah kulit merengsa berikutan penggunaan etanol iaitu bahan kimia alkohol yang asasnya daripada petroleum.

“Inovasi ini sudah diuji di Makmal Bioserasi dan Klinik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan produk itu selamat digunakan.

“Setakat ini, produk ini tidak memberikan sebarang kesan negatif dan ramai memberikan maklum balas positif,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 5:04pm
    d