mutakhir

Tak sempat melaram

Oleh Hazri A Bakar

SEORANG penjenayah tidak sempat melaram apabila dia ditahan selepas sejam menyamun menggunakan kapak di Kampung Sri Lumpur, Mersing, semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu dikatakan menyamun mangsanya yang berusia 22 tahun membabitkan kerugian kira-kira RM9,000.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward berkata, pihaknya menerima laporan kejadian samun kira-kira 4 petang.

Katanya, penjenayah menggunakan kapak melakukan samun dan melarikan sebuah motosikal, wang tunai dan telefon bimbit serta pengecas mudah alih.

"Hasil risikan dan maklumat orang awam, sejam selepas kejadian polis berjaya mengesan suspek di Taman Mahkota di sini dan merampas semula semua barang yang disamun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menggunakan senjata dan Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam satu kejadian berasingan, polis berjaya memberkas seorang penjenayah melakukan pecah kedai di Jalan Awang Daik yang ditemukan bersembunyi di dalam tandas premis itu.

Menurut Cyril, polis menerima aduan kira-kira jam 8.45 malam dan anggota polis berjaya mengesan suspek berusia 39 tahun bersama peralatan pecah rumah sedang bersembunyi di dalam premis yang dipecah masuknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:33pm
d