mutakhir

Covid-19: Ada masjid enggan bantu

Oleh Nazri Abu Bakar

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Mohd Rafiq Mohd Naizamohideen kesal apabila dia difitnah mengatakan meminta pengurusan masjid memberi wang kepada pegawai khasnya.

“Untuk apa saya paksa duit diberi pegawai khas saya? Untuk guna makan minum anak isteri sayakah? Ini semua tidak logik dan fitnah jahat kepada saya. Saya cabar pihak yang menyebar fitnah ini tidak berselindung di sebalik akaun palsu dan melaporkan kepada SPRM.

“Untuk makluman, satu mesyuarat dengan semua Pengerusi/ Wakil Pengerusi Masjid Dun Paya Rumput sudah diadakan di pejabat saya di Seri Negeri. Kebanyakan masjid melaporkan kewangan masjid mencecah hampir RM30,000 manakala ada masjid melaporkan kewangan mencecah RM85,000, ada lebih RM100,000.

“Dalam mesyuarat itu, selaras saranan dan galakan dari Pejabat Mufti dan MAIM (Majlis Agama Islam Melaka), saya membincangkan pembabitan masjid untuk sama-sama membantu kariah masing-masing menghadapi Covid-19 memandangkan bantuan Japerun dan Kerajaan Negeri Melaka semata-mata tidak mencukupi,” katanya menjelaskan tohmahan berkenaan.

Menurutnya, mesyuarat itu memutuskan, bantuan barang makanan bernilai RM32.50 satu pek diselaraskan pembelian oleh pegawainya di Pasaraya Mydin Hypermarket.

“Masjid diberi kebebasan membeli sendiri jika mampu mendapat harga yang sama murah seperti Masjid Kampung Paya Rumput. Malah jumlah bantuan juga dibincangkan dan diputuskan berdasarkan kedudukan kewangan masing-masing dan dipersetujui ahli mesyuarat.

“Saya hairan mengapa ketika rakyat susah berdepan Covid-19 masih banyak masjid yang sayang mengeluarkan wang untuk rakyat.

“Walaupun sudah dibincangkan dalam mesyuarat, ada sebahagian AJK masjid tak berpuas hati menghubungi saya dan enggan memberi sumbangan seperti diputuskan,” katanya.

Katanya, mereka memberi alasan tiada ramai yang layak menerima bantuan walaupun ada lebih 5,000 senarai yang memohon terdiri daripada golongan miskin dan golongan B40.

“Selepas itu viral poster fitnah menyatakan saya paksa masjid serah wang kepada setiausaha khas jika ingkar saya ugut Majlis Agama Islam (MAIM) rombak AJK masjid.

“Untuk makluman, ada masjid dalam Dun Paya Rumput yang wang terkumpul hampir RM90,000 menghubungi saya hanya mahu membelanjakan (wang) bagi membantu 100 pek makanan (kos keseluruhan RM RM3,250) dalam kariahnya.

“Sikap kedekut sesetengah masjid ini amat mengecewakan dan menyebabkan cerita-cerita seperti segelintir umat Islam terpaksa ke Gereja mendapatkan sumbangan. Cukup-cukuplah memfitnah saya,” katanya.

Katanya, dia ikhlas berkhidmat dan membantu rakyat menghadapi Covid-19 kerana Allah SWT.

“Malah saya tidak dapat 1 sen pun keuntungan dari usaha ini. Kepada Allah Saya berserah dan harap mereka yang memfitnah saya diberi petunjuk,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:33pm
    d