mutakhir

KKM sedia 3,994 katil tangani wabak Covid-19 [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BAGI menampung persediaan menangani penularan koronavirus baharu (Covid-19), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan 3,994 katil untuk digunakan pada bila-bila masa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, persediaan awal sudah dilakukan KKM dalam perkhidmatan hospital untuk menangani Covid-19 sejak Februari lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Menurutnya, sejak 18 Mac lalu, KKM sudah mengenal pasti 57 hospital saringan dan 26 hospital yang menyediakan rawatan Covid-19.

“Pada ketika itu, jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 790 kes berbanding 2,626 kes pada hari ini dan kini terdapat peningkatan 70 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan di semua negeri berbanding 57 sebelum ini.

“Hospital merawat Covid-19 juga bertambah daripada 26 kepada 38 buah melalui kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan pihak hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan tujuh daripada hospital berkenaan dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang merancang menambah bilangan katil menerusi pengubahsuaian Institut Latihan KKM (ILKKM) bagi menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah.

Katanya, kapasiti ILKKM masih boleh dipertingkatkan mengikut keperluan selain Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) berupaya menyediakan 600 katil.

Dalam sidang media sama, beliau berkata, bagi kluster tabligh ijtimak di Masjid Sri Petaling, KKM sudah menyaring 18,271 jemaah dan 14,111 sampel sudah diambil setakat ini.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 1,290 sampel adalah positif manakala 8,083 lagi negatif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:35pm
    d