mutakhir

Kantoi bawa dadah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN seorang lelaki melanggar sekatan jalan raya di Plaza Tol PJS 2 di Petaling Jaya, semalam, mendedahkan rahsianya memiliki sejumlah dadah dan wang tunai lebih RM19,000.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 23 tahun berkenaan memandu kereta model Audi melanggar sekatan jalan raya di lokasi itu kira-kira jam 5.30 petang.

“Kejadian itu dipercayai berpunca akibat suspek menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap suspek menemui lima peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin seberat 5.1 gram.

“Selain itu, kami juga menemui satu plastik lut sinar mengandungi wang tunai RM19,082 dalam kereta dipandu suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis methaphetamin dan ketamin.

“Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod berkaitan dadah. Dalam kejadian ini, tiada anggota bertugas di lokasi yang cedera, namun 20 kon, lapan lampu mata dan papan tanda pemeriksaan polis rosak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 26(2) Akta Polis 1967,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:44pm
d