mutakhir

ASNB umum agihan pendapatan ASB2, ASM

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) masing-masing sebanyak 4.75 peratus dan 4.25 peratus dengan jumlah pembayaran pendapatan mencecah hampir RM1.4 bilion bagi kedua-dua dana terbabit.

Dana harga berubah ASNB mencatatkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit kepada 89,327 pemegang unit ASN Equity 3, 3.50 sen seunit kepada 86,426 pemegang unit ASN Imbang 2 dan 4.55 sen seunit kepada 69,872 pemegang unit ASN Sara 1.

Pengagihan ketiga-tiga dana itu berjumlah berjumlah RM228.7 juta.

Kelima-lima dana di bawah ASNB itu juga mengatasi penanda aras simpanan tetap 12 bulan Maybank.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, setakat 29 Februari, ASB2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta.

“Selari dengan penanda aras yang ditetapkan, PNB sentiasa mengekalkan strategi peruntukan aset berhemah dan pegangan saham yang besar di pasaran awam memastikan PNB mempunyai tahap kecairan pelaburan yang diperlukan untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

“Di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang 2019, portfolio dana PNB kekal kukuh secara relatif berbanding penanda aras masing-masing yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh pegangan saham berkualiti tinggi dengan asas yang kukuh serta langkah yang diambil bagi mempelbagaikan lagi portfolio,” katanya.

Urus niaga bagi lima dana berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 hingga 31 Mac 2020 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pejabat cawangan ASNB tidak beroperasi buat masa ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan namun pemegang unit masih boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB.

Pemegang unit juga boleh berkunjung ke cawangan ejen ASNB apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2020.

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 7:02pm
d