mutakhir

Hilang di KL, jumpa di Kemaman

Oleh Rosli Ilham

LORI muatan roti yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemui ditinggalkan di tepi jalan di berhampiran Masjid Beris Meraga, Kijal, dekat Chukai, malam tadi.

Lori tiga tan itu ditemui ditinggalkan di situ, kira-kira 8 malam, sebelum orang ramai memaklumkan kepada pekerja syarikat roti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan lori terbabit.

Menurutnya, lori terbabit dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi pada hari sama.

“Lori terbabit sebelum itu digunakan untuk mengedar lori di sekitar Kuala Lumpur sebelum disedari hilang oleh pemandunya.

“Berikutan itu, pemandu lori terbabit pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan,” katanya.

Hanyan berkata, sebaik lori itu ditemui di daerah Kemaman, kakitangan syarikat terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat laporan, kira-kira 10 malam tadi.

“Kes terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 9:30am
d