mutakhir

Guna dron sanitasi tempat terbuka [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

DRON akan digunapakai bagi memudahkan operasi sanitasi di kawasan terbuka di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun penggunaaan dron itu bergantung kepada kesesuaian lokasi.

Katanya, terdapat kawasan yang perlu disanitasi dengan segera dan pihaknya tidak mempunyai kakitangan mencukupi.

“Operasi sanitasi ini akan berjalan terus setiap hari di sekitar ibu kota, namun Datuk Bandar akan menentukan kawasan yang perlu diutamakan atas nasihat Kementerian Kesihatan iaitu di kawasan zon merah.

“Oleh itu, penggunaan dron adalah salah satu pilihan dan hari ini saya lihat sendiri bagaimana kita menggunakan dron untuk proses sanitasi,” katanya yang ditemui di operasi sanitasi awam sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, selain dron, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mempunyai pelbagai aset termasuk kenderaan dan peralatan lain untuk melaksanakan operasi sanitasi.

“Kita lihat dulu pada kesesuaian sama ada perlu menambah jumlah dron atau tidak kerana Datuk Bandar perlu membuat kajian terlebih dahulu dan ia bukanlah kajian yang memakan masa berbulan-bulan.

“Ada kawasan yang boleh guna dron, kita akan gunakan dron sebab kita tak cukup kakitangan, yang pentingnya adalah keberkesanan menghapuskan virus berkenaan.

“Malah di kawasan bandar ini terdapat beberapa halangan jika di tempat terlalu tinggi adakah ia mampu membunuh kuman yang seperti kita mahukan, jadi kita harus mengkaji semua itu,” katanya.

Operasi Sanitasi Awam Covid-19 mula dilakukan secara besar-besaran bermula kelmarin di 47 lokasi utama seluruh negara.

Ia akan dilaksanakan di seluruh negara dengan tumpuan utama di tempat awam berisiko tinggi dan zon merah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 2:03pm
    d