mutakhir

Guna kemahiran bantu barisan hadapan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEMAHIRAN membuat perisai muka ketika berdepan pergolakan di Mesir sewaktu melanjutkan pengajian tujuh tahun lalu dimanfaatkan untuk membantu barisan hadapan bagi menghadapi pandemik Covid-19.

Jamal Najmuddin Sulaiman, 36, tidak menyangka perkongsiannya membuat perisai muka di Facebook menarik perhatian ramai khususnya kakitangan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, tutorial berkenaan kemudiannya tular sebelum banyak pihak mengutarakan hasrat untuk dia menyediakan perisai muka berkenaan.

“Saya terima banyak permintaan menyediakan perisai muka dan dalam tempoh genting begini tiada sebarang bayaran dikenakan.

“Ini memang niat saya untuk membantu mereka yang berkorban bagi merawat pesakit Covid-19 sedangkan mereka juga terdedah jangkitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Perisai muka inovasi Jamal hanya menggunakan plastik bersaiz A4, span dan getah seluar kini sudah diedarkan kepada pelbagai pihak sejak dua minggu lalu menerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Cawangan Kelantan.

Katanya, dalam keadaan memerlukan kerjasama rakyat ini, dia terharu apabila ada individu, syarikat dan kilang sudi menaja kelengkapan membuat peralatan itu.

“Alhamdulillah niat ini dipermudahkan Allah SWT dan banyak pihak menghulurkan bantuan memandangkan kekurangan bekalan kerana ketiadaan pembekal.

“Setakat hari ini, saya sudah menyiapkan lebih 3,000 perisai muka dan diserahkan kepada Papisma untuk disalurkan kepada hospital dan pihak yang memerlukan.

“Saya juga ada terima permintaan daripada jururawat hospital di Lembah Klang dan perisai muka akan dipos kepada mereka,” katanya yang dibantu ahli keluarga dan rakan terdekat.

Jamal berkata, ketika negara dilanda musibah, rakyat diminta berganding bahu membantu mengikut keupayaan dan kemampuan agar wabak ini dapat pulih sepenuhnya.

Tambahnya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat peralatan hasil kerjanya dapat memberi manfaat kepada individu memerlukan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 2:12pm
    d