mutakhir

NGO akur arahan kerajaan

Oleh Siti Rohana Idris

hmetro.com.my

BIARPUN barangan dapur tidak sempat diagihkan badan bukan kerajaan (NGO) kepada semua penerima tapi demi keselamatan semua, arahan kerajaan terpaksa dipatuhi.

Kelmarin kerajaan mengeluarkan arahan NGO tidak lagi mengagihkan barangan makanan secara terus kepada penerima sebaliknya hanya dibenar menghantar sumbangan itu ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu adalah untuk mengelakkan ahli NGO terdedah kepada risiko dijangkiti wabak Covid-19 selain mengawal pergerakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengerusi Persatuan Sahabat Pencinta Bahasa (PSPB), Mohd Azizi Abdullah, 30, NGO itu menerima lebih 100 bungkusan makanan dapur daripada tiga syarikat untuk diagihkan kepada golongan sasar.

“Sehari sebelum arahan dikeluarkan, kami sudah mengagihkan separuh bantuan itu dengan cara mengagihkan dari rumah ke rumah dan semua nama penerima ada dalam senarai serta sudah dikenal pasti sebagai golongan sasar.

“Sebaik larangan dikeluarkan oleh kerajaan dua hari lalu dan akan terus berkuatkuasa keesokan harinya, PSPB bersama NGO Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK) segera membuat agihan setakat yang mampu dan kini masih ada lagi baki bungkusan berisi barangan dapur yang tidak sempat diagihkan,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Azizi berkata, sudah empat tahun NGO itu menjalankan kerja amal dengan mengagihkan barangan keperluan kepada golongan asnaf dan kebanyakan penerima sudah berada dalam senarai tetap mereka.

Dia berkata, apabila terpaksa diserahkan tugasan agihan itu kepada pihak lain, dia berasa agak terkilan kerana mungkin akan berlaku keciciran kerana agak sukar pihak yang dipertanggungjawabkan itu untuk mengenalpasti lokasi penerima.

“Agihan barangan dapur kami merangkumi penerima sekitar Kota Bharu, Bachok serta Tumpat dan kami risau sekiranya ada keciciran dalam kalangan penerima namun demi menghormati keputusan kerajaan, kami perlu akur malah ia juga membabitkan keselamatan bersama.

“Saya berharap pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menggantikan tugas NGO mengagihkan barangan keperluan menjalankan proses itu secara telus kerana ia membabitkan amanah penyumbang dan harapan penerima itu sendiri,” katanya.

Sementara itu bagi Pertubuhan Kebajikan Mukim Parit Pasir Tumboh (KBJIKN), pihaknya akan menggantikan proses agihan secara terus kepada sistem kupon yang mana penerima akan mengambil barangan keperluan di kedai runcit yang ditetapkan.

Pengerusinya, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, pihaknya sudah mengagihkan sumbangan barangan dapur kepada 70 golongan sasar pada Jumaat lalu dan 20 penerima lagi akan diberikan kupon.

“Mereka akan mengambil barangan di kedai runcit pada harga RM50 mengikut waktu yang kami akan tetapkan bagi mengelakkan mereka pergi serentak.

“Kaedah kupon ini kami terpaksa gunakan kerana kerajaan sudah tidak lagi membenarkan NGO agih secara terus kepada penerima dan kami perlu menghormati keputusan itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 3:24pm
d