mutakhir

Jangan tipulah...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIADA pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 pergi ke pasar raya di sekitar Marang seperti yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, tiada pesakit suspek Covid-19 dari hospital dihantar balik ke rumah oleh pasukan khasnya yang ditubuhkan untuk membantu mengiring petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait dengan pesakit Covid-19.

“Saya menafikan berita tular yang mendakwa tidak membenarkan orang ramai ke pasar raya di sekitar Marang kerana kononnya ada pesakit suspek Covid-19 yang baru dihantar pulang ke rumah namun keluar ke pasar raya.

“Kami memang ada pasukan khas yang terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota tetapi mereka tiada ada menghantar pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 balik ke rumah seperti yang ditularkan,” katanya ketika dihubungi di Marang, hari ini.

Mohd Zain turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh mencetuskan kegusaran masyarakat.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Sebelum ini, tular di laman sosial terutamanya melalui aplikasi WhatsApp melarang orang ramai ke pasar raya di Marang kerana pesakit suspek Covid-19 yang baru dihantar pulang ke rumah oleh anggota polis pergi ke pasar raya walaupun dilarang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 5:50pm
    d