mutakhir

Dadah ikan patin

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KALI pertama berlaku apabila wujud sindiket cuba menyeludup serbuk daun ketum selain dadah ketamin disembunyikan di dalam perut ikan patin melalui Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tindakan itu bagaimanapun berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum semua bahan terlarang bernilai RM6.19 juta itu dirampas pada 15 dan 16 Mac.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah) Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, kes pertama dikesan pada 15 Mac lalu membabitkan cubaan menyeludup dadah jenis ketamin seberat 54.36 kilogram bernilai RM2.45 juta.

Manakala pada 16 Mac lalu, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup serbuk daun ketum seberat 747.73 kilogram bernilai RM 3.74 juta.

“Dalam kejadian jam 3 pagi 15 Mac lalu itu, sepasukan pegawai Penguatkuasaan Unit III (KLIA) Zon Tengah melakukan pemeriksaan terhadap 28 kotak polisterin yang diikrar sebagai makanan laut sejuk beku untuk dieksport ke Hong Kong dan 190 bungkusan ketulan mampat berbalut plastik berwarna hitam mengandungi serbuk berwarna putih ditemui disorok di dalam perut ikan patin.

“Bahan dadah yang disyaki ketamin itu disorok di dalam perut ikan patin yang disejuk beku adalah untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa di KLIA, dengan destinasi akhir adalah Hong Kong International Airport,” katanya.

Zulkurnain berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala pada 16 Mac lalu, sepasukan pegawai Penguatkuasaan Unit III (KLIA) Zon Tengah melakukan pemeriksaan ke atas 39 kotak yang diikrar sebagai 'Mitragyna Speciose Leaf Powder' diimport dari Indonesia.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah bungkusan lut sinar mengandungi serbuk berwarna hijau disyaki daun ketum (Mitragynine) yang disimpan di dalam 39 kotak itu.

“Susulan itu, seorang warga tempatan ditahan untuk siasatan dan kes disiasat Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 6:46pm
d