mutakhir

Suspek rogol, bunuh ditangkap ketika tidur

Oleh Nor Amalina Alias

SUSPEK kes rogol ibu tunggal dan bunuh seorang lelaki di Kampung Mujur Jelawat, Bachok akhirnya berjaya ditangkap polis, pagi tadi.

Suspek berusia 19 tahun itu ditangkap polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok, pada 10.30 pagi tadi di sebuah rumah hasil risikan mereka.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintedan, Samsulmuddin Sulaiman berkata, suspek ditangkap ketika sedang tidur di rumah berkenaan yang terletak tidak jauh dari lokasi berlaku kejadian jenayah itu.

“Tiada pergelutan berlaku ketika menangkap suspek kerana dia sedang tidur ketika polis menemuinya.

“Suspek ditahan reman dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Bachok, 8 pagi esok,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 7 pagi kelmarin, seorang lelaki maut ditikam manakala dua lagi cedera termasuk seorang ibu tunggal dipercayai dirogol suspek.

Lelaki yang maut berusia 28 tahun ditikam di perut dan dada manakala rakannya, lelaki berusia 25 tahun cedera parah yang dikatakan berada di rumah wanita ibu tunggal berusia 40an ketika kejadian berlaku.

Suspek dipercayai memecah masuk rumah wanita berkenaan sebelum meletakkan pisau di tengkuk mangsa dan merogolnya.

Selepas kejadian, suspek cuba melarikan diri namun wanita ibu tunggal lima anak itu menjerit menyebabkan dua lelaki yang berada di dalam rumahnya cuba menangkap suspek namun berlaku pergelutan antara mereka bertiga menyebabkan salah seorang maut manakala seorang lagi cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat manakala lelaki yang cedera parah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ibu tunggal kematian suami itu tinggal di rumah berkenaan bersama lima anaknya yang berusia 17 hingga dua tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan Seksyen 376 KK kerana merogol.

Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 7:05pm
d