mutakhir

Disamun dua lelaki bertopeng

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

WANITA warga emas berdepan detik cemas apabila rumahnya dipecah masuk dua lelaki bertopeng sebelum melarikan cincin dan wang tunai dalam kejadian di Tali Air 6, Ban 3, Sekinchan, 28 Mac lalu.

Dalam kejadian 10 malam itu, suspek menekup muka mangsa berusia 85 tahun menggunakan baju sebelum menggeledah almari.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, anak lelaki mangsa berusia 62 tahun membuat laporan polis selepas dimaklumkan jiran.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk dan keluar melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

“Mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana bertopeng dan salah seorang daripadanya memegang senjata tajam sambil mengacah ke arah mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, seorang suspek mengarahkan mangsa diam sekiranya tidak mahu dicederakan manakala seorang lagi menggeledah almari mencari barang berharga.

“Semasa kejadian, suspek membawa senjata yang tidak dapat dikenal pasti. Bagaimanapun, dua cap jari dijumpai di bahagian laci almari itu.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa kerugian RM50 termasuk cincin emas dan kad pengenalan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan (KK).

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 10:26am
d