mutakhir

Malaysia akur pendirian Arab Saudi tangguh ibadah haji

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KERAJAAN akur pendirian Arab Saudi yang menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, terpulang kepada kerajaan Arab Saudi kerana mereka lebih memahami keadaan di sana.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa kebarangkalian terdapat pengumuman lain selepas ini.

“Justeru, saya berharap umat Islam yang berhasrat dan sudah membuat persiapan boleh menerima keputusan ini dan bersabar.

“Mudah-mudahan mereka (bakal jemaah haji) juga dikira sebagai orang yang mendapat ganjaran pahala kerana sudah mula dengan niat baik, namun terdapat halangan tertentu.

“Biasanya, mereka yang bakal menunaikan ibadat haji tahun ini sudah dimaklumkan awal dan sudah mendapat surat untuk persediaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada semua agensi berkaitan sebagai persediaan sebelum dimaklumkan kepada bakal jemaah.

Terdahulu, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.

Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten berkata, Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak Covid-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 12:24pm
    d