mutakhir

Aktiviti di masjid, surau ditangguh

Oleh Mohd Amin Jalil

SEMUA aktiviti di masjid dan surau di seluruh Negeri Sembilan kekal ditangguhkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 14 April ini.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, arahan dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sebelum ini iaitu ketika menjelangnya perintah PKP fasa pertama dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu masih kekal sehingga PKP ini berakhir.

Katanya, ini selaras lanjutan PKP diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 14 April ini.

“Kerajaan Persekutuan sudah membuat keputusan dan menetapkan lanjutan PKP sehingga 14 April ini dan oleh itu jabatan agama akan ikut dan patuh seperti ditetapkan.

“Justeru, arahan penangguhan semua aktiviti masjid dan surau masih sama seperti sebelum ini, sebagai sebahagian langkah bagi membendung rantaian wabak Covid-19.

“Saya berharap pengurusan masjid dan surau dapat memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan ditetapkan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yusof menegaskan, tiada solat Jumaat pada 3 dan 10 April ini, sebaliknya hanya solat fardu Zuhur di kediaman masing-masing bagi memastikan rantaian wabak itu dapat diputuskan.

Sementara itu, Seremban antara lokasi tersenarai sebagai zon merah Covid-19 selepas merekodkan bilangan kes kumulatif setakat ini sebanyak 172 kes.

Sehubungan itu, operasi nyah kuman di kawasan tumpuan awam di kawasan pusat bandar dan taman perumahan dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan diberikan tanggungjawab mengetuai operasi itu yang sudah memasuki hari ketiga, hari ini.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 6:54pm
d