mutakhir

Pengalaman gali kubur pakai sut perlindungan Covid-19

Oleh Ahmad Ismail

“KAMI pernah menggali kubur berjam lamanya namun tidak pernah merasai cabaran dibaluti pakaian umpama angkasawan untuk pengurusan jenazah,” kata penggali kubur yang juga kakitangan Pejabat Kadi Daerah Segamat Md Najib Teh, 53.

Md Najib berkata demikian bagi menyeru orang ramai supaya menghormati tugas pengurusan mayat dijalankan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, tugas itu bukan mudah kerana petugas berkenaan perlu memakai sut lengkap terbabit bagi mengelak risiko dijangkiti.

“Saya dan rakan setugas pernah sekali mengenakan sut umpama ini dan ia memang kurang selesa.

“Kami memakainya kerana hanya mahu mencuba dan menyelami betapa sukarnya tugas dijalankan petugas KKM itu,” katanya.

Menceritakan pengalamannya sebagai penggali kubur, Md Najib yang berasal dari Kampung Berata di sini, memaklumkan yang dia biasanya melakukan kerja penggalian kubur bersama rakan, Abd Rahim Abu Lias, 50.

“Saya laksanakan tugas ini sejak 20 tahun lalu dan sudah menggali ratusan kubur.

“Bukan imbuhan kewangan yang saya cari sebaliknya lebih kepada saham akhirat. Antara cabaran dihadapi ialah tebing kubur runtuh selain lubang digali tiba-tiba tidak rata,” katanya.

Bagaimanapun, Md Najib bersyukur kerana semua tugas itu dapat dilaksanakannya.

“Saya harap lebih ramai generasi muda dapat menjalankan tugas ini kerana ramai yang tidak minat untuk menjadi penggali kubur,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 7:14pm
d