mutakhir

Covid-19: KKM jangka terima 956 ventilator minggu ini

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan sebanyak 956 ventilator dipesan dari negara pengeksport dapat diterima minggu ini untuk merawat pesakit koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melebihi sasaran pihaknya sebanyak 800 ventilator.

Beliau menjelaskan, ventilator sedia ada di hospital dan pusat rawatan kerajaan adalah 219 ventilator.

“Bagi pihak hospital dan pusat rawatan swasta pula ada sebanyak 68 ventilator.

“Kerajaan China pula baru memberikan bantuan peralatan perubatan termasuk 200 ventilator," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ditanya mengenai statistik membabitkan warga asing positif Covid-19 dilaporkan di negara ini, katanya, tidak ramai yang positif.

“Tetapi tidak ramai yang positif, untuk gelombang pertama membabitkan warga asing, seramai 16 daripada 22 pesakit adalah warga asing.

“Untuk gelombang kedua juga ada (warga asing positif Covid-19 di Malaysia) tetapi tiada jumlah tepat di tangan untuk diberikan setakat ini,” katanya.

Mengenai 2,359 sukarelawan dari pelbagai kategori sudah menawarkan diri untuk berkhidmat di hospital KKM serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, pula, katanya mereka akan diberikan enam bulan kontrak.

Berkaitan kes pulih tertinggi iaitu 108 kes hari ini sejak wabak Covid-19 melanda negara, katanya iaitu prosedur untuk memastikan pesakit pulih sepenuhnya adalah ketat sebelum individu itu dibenarkan keluar wad dan pulang ke rumah.

“Tempoh rawatan kira-kira seminggu hingga dua minggu bagi kes yang discaj. Sebabnya kadang-kadang mereka sudah tiada gejala tetapi masih positif

“KKM kena tunggu keputusan adalah negatif sebanyak dua kali dalam tempoh lebih 24 jam dan pastikan keputusan itu sebelum seseorang pesakit Covid-19 dibenarkan discaj. Dua sampel negatif baru boleh balik," katanya.

Beliau turut ditanya mengenai perubatan tradisional dan jawapan beliau adalah KKM hanya menggunakan ubat yang sudah diperakui serta mempunyai sokongan keterangan yang kukuh untuk rawatan Covid-19.

Berhubung saringan di Menara City One di Jalan Munshi Abdullah ibu negara yang sedang jalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan, katanya, masih awal untuk membuat kesimpulan.

“Kita baru mulakan dua hari (saringan). Namun apa kita kesan sebelum ini ada indeks kes hadir perhimpunan tabligh Masjid Sri Petaling dan menjangkiti sekurang-kurangnya 12 orang dari keseluruhan 17 orang.

“Nasihat untuk laksanakan PKPD bukan sahaja kerana jumlah kes tetapi seberapa cepat kes meningkat mendadak.

“Jika ada kes mendadak di hotspot lain, kita akan laksanakan PKPD di kawasan berkenaan, saring semua orang di situ, uji, kenal pasti dan asingkan untuk rawatan," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan semua pihak dalam negara bersama KKM dalam waktu krisis ini.

Menurutnya, kali pertama dalam sejarah semua sektor adalah bagaikan sektor kesihatan yang bekerjasama untuk tujuan yang sama iaitu kesihatan.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 7:45pm
d