mutakhir

Tetap cari berita walaupun dikuarantin

Oleh Omar Ahmad

ERNALISA Othman, 34, perlu menjalani tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari selepas mempunyai gejala Covid-19 namun sebagai wartawan penyiaran, dia tetap berusaha mendapatkan bahan berita untuk tatapan umum.

“Saya mulakan tempoh kuarantin pada 26 Mac lalu. Setiap hari, saya perlu mengisi borang pemantauan diri harian (Daily Self Monitoring Form) sama ada masih mengalami simptom seperti batuk, selsema, demam atau sakit tekak.

“Tujuan mengisi borang itu adalah untuk memudahkan pemeriksaan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang,” katanya dihubungi.

Untuk rekod, Ernalisa adalah pengamal media pertama di negeri ini yang diarahkan menjalani kuarantin selepas dikesan mempunyai simptom Covid-19.

Menurut Ernalisa, setiap hari, bermula pada hari kedua kuarantin, dia akan menghubungi beberapa pihak untuk mendapatkan bahan berita.

Katanya, dia tidak sanggup hanya duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa sedangkan rakan setugas lain sibuk menjalankan tugas diamanahkan.

“Setiap hari saya akan layari laman sosial Facebook (FB) dan lakukan carian berkaitan Covid-19 untuk mendapatkan maklumat yang boleh dikongsi dengan masyarakat.

“Selepas itu, saya akan hubungi beberapa pihak dan minta pendapat mereka bagi mengulas isu diutarakan,” katanya.

Menurut Ernalisa, bagi menjaga kesihatan, selain minum air kosong mengikut keperluan, dia turut memakan lebih buah dan sayuran.

“Doktor menasihati saya supaya melebihkan pengambilan makanan bervitamin seperti buah-buahan dan sayuran.

“Memandangkan saya memang tidak boleh keluar, saya minta bantuan jiran untuk membelinya.

“Caranya mudah iaitu saya letak duit di tembok rumah, jiran datang dan ambil sebelum membelinya. Jiran kemudiannya meletakkan barangan dibeli di lokasi sama,” katanya.

Menurut Ernalisa, dia berdoa supaya segera pulih seterusnya dapat bertugas di lapangan.

“Saya tidak sabar untuk bertugas seperti biasa seterusnya membantu kerajaan membendung penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 8:00pm
    d