mutakhir

Jual kebab kaedah COD

Oleh Malik Muhamad

DEMI kelangsungan hidup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini, seorang peniaga pasar malam, Saiful Aswade Hassan, 44, mengubah strategi perniagaan kebabnya dengan kaedah ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima.

Menurut pemuda dari Kampung Tok Fakir, Merchang itu, dia terpaksa mengubah kaedah perniagaannya itu selepas pasar malam di sekitar Marang yang menjadi sumber rezekinya sebelum ini tidak lagi boleh beroperasi bagi membendung penularan wabak Covid-19 itu.

Katanya jika dia tidak berusaha menjalankan perniagaan begitu, pasti dapurnya tidak berasap lebih-lebih lagi hanya tinggal 23 hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut ketibaan Ramadan.

Justeru berpegang kepada prinsip tiada istilah malu untuk mencari rezeki walaupun penat, Saiful bersama isterinya, Saudah Ngah, 34 melakukan perniagaan itu demi menyara kehidupannya sekeluarga termasuk dua anak serta kedua ibu bapanya yang kini terlantar sakit.

“Selepas tidak lagi boleh menjalankan perniagaan seperti biasa di pasar malam, saya tiada pilihan lain selain perlu menjalankan perniagaan secara ‘cod’ lebih-lebih lagi saya tidak ada sumber pendapatan lain kerana perniagaan itu adalah satu-satunya pekerjaan saya bersama isteri.

“Jika nak dibandingkan jualan sebelum ini memang terjejas teruk, biasa saya mampu jual antara 100 hingga 140 kebab sehari, kini melalui cara itu, jualan tidak menentu, kadang kala hanya mampu jual 30 hingga 40 kebab sehari kerana hanya tertumpu di kawasan kampung,” katanya.

Menurutnya, akur dengan keadaan sekarang, dia memastikan penghasilan kebab Malay World yang diusahakan sejak 15 tahun lalu itu bersih selain mengamalkan langkah pencegahan ketika penghantaran iaitu memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 8:39pm
d