mutakhir

Sisik tenggiling bernilai RM78 juta dirampas [METROTV]

Oleh Rosyahaida Abdullah

TAKTIK menggunakan kacang gajus untuk menyeludup masuk sisik tenggiling bernilai RM78 juta ke negara ini gagal selepas cubaan itu berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semalam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, JKDM berkata, melalui pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang Utara, Selangor, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya mengesan sisik tenggiling atau pangolin scale itu yang disembunyikan di sebalik guni berisi kacang gajus.

“Kontena terbabit diikrar mengandungi kacang gajus namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sisik tenggiling di sebalik guni berisi kacang gajus dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kesemua dagangan larangan dianggarkan seberat 6,160 kilogram (kg) itu yang membabitkan nilai kira-kira RM78 juta dirampas dan ini juga rampasan terbesar JKDM pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pengimport serta ejen kastam yang terbabit dalam kes ini juga sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Pengimportan sisik tenggiling adalah dilarang mengikut Butiran 1, Bahagian III Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 kecuali dengan adanya kelulusan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Sisik tenggiling juga dikategorikan sebagai larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan kelulusan permit,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 8:43pm
d