mutakhir

Projek 'kereta terbang' belum boleh teruskan

Oleh Redzuan Muharam

“SECARA realiti, belum boleh dilaksanakan,” itu jawapan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menjawab kemungkinan projek kereta terbang cetusan idea Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof diteruskan atau sebaliknya.

Soalan itu diajukan oleh seorang pemanggil dalam program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) Bernama TV bermula 9 hingga 10 malam tadi.

Menurut Wan Junaidi, terdapat beberapa aspek perlu dilihat sebelum projek itu diteruskan.

“Masalahnya dari segi perundangan kerana untuk menjalankan dron saja perlu dapat kebenaran.

“Inikan pula kereta terbang dan walaupun punya teknologi tertentu, lihat negara maju belum boleh buat kaedah itu.

“Masalah undang-undang, protokol belum dapat diselesaikan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai langkah yang akan diambil untuk menangani masalah pengangguran yang mungkin berlaku jika wabak Covid-19 berpanjangan, beliau berkata, beberapa agensi di bawah kementerian akan membantu dengan menyediakan latihan menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Ahli Parlimen Parlimen Santubong itu berkata, langkah itu adalah alternatif jangka panjang dan persediaan untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan berikutan Covid-19.

Menurut Wan Junaidi, mesyuarat juga sudah diadakan bagi membincangkan isu pengangguran dan pekerjaan dengan merancang dalam sudut alternatif perniagaan.

“Kalau berpanjangan (Covid-19), mungkin buat saranan kepada perniagaan dalam talian dengan latihan dibuat pihak Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Institut Koperasi dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Ia mempunyai kapasiti untuk latih 1,000 individu dalam masa singkat dan saya sudah bagi arahan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), MaGIC dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) supaya merancang dari sudut sumber setaraf.

“Langkah ini bukan untuk menangani masalah sekarang tapi masa depan bagi melalui kesan untuk enam hingga setahun akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 11:10pm
d