mutakhir

Bekas Speaker DUN Kedah meninggal dunia

Oleh Noorazura Abdul Rahman

BEKAS Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang, malam tadi.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 10.50 malam ketika menerima rawatan di Hospital Klang, Selangor.

Katanya, semasa hayatnya, Allahyarham sangat istiqamah dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dan parti.

“Allahyarham pernah dilantik sebagai Setiausaha Majlis Muassasah Darul Ulum pada tahun 2007-2011, Speaker DUN Kedah pada tahun 2008 hingga 2013, Pengerusi Majlis Kolej Islam Darul Ulum dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Pasu.

“Allahyarham juga bekas pensyarah di Universiti Utara Malaysia dan Pengarah Institut Pemikiran Dato Ustaz Fadhil Mohd Noor,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, malam tadi.

Ahmad berkata, PAS Kedah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 9:21am
d