mutakhir

Adtec Melaka hasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan

Oleh Rosyahaida Abdullah

MENYEDARI keperluan mendesak terutamanya peralatan perlindungan diri (PPE) dalam kalangan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko Covid-19, Kelab Alumni Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Melaka mengambil langkah menyertai usaha menghasilkan komponen PPE khusus untuk petugas hospital.

Presidennya, Mohd Haniff Abdul Latiff berkata, sepanjang tiga hari bermula Jumaat lalu, kira-kira 2,000 pelindung muka sudah dihasilkan 10 kakitangan Adtec Melaka bersama enam penuntut pusat berkenaan.

Menurutnya, pelindung muka itu dikhususkan untuk kegunaan petugas sektor kesihatan yang berdepan risiko Covid-19 lebih tinggi terutamanya di klinik dan hospital.

“Objektif kami adalah untuk turut sama menyumbang kepada petugas barisan hadapan yang kita sedia maklum betapa besarnya risiko mereka berdepan secara langsung dengan pesakit yang dijangkiti Covid-19 setiap hari.

“Sasaran kami adalah untuk menghasilkan ‘intubation box’ (kotak intubasi) dan ‘face shield’ yang kita tahu perlu dilupuskan selepas dipakai sekali saja, jadi keperluannya amat tinggi ketika ini.

“Permintaan PPE memang tinggi malah semalam (kelmarin) pun ada pusat kuarantin di Melaka sudah menyatakan keperluan mereka untuk peralatan ini. Kita akan cuba siapkan seberapa segera dengan sumber yang ada,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Haniff, pihaknya cuba meningkatkan jumlah penghasilan harian bagi komponen PPE itu untuk disumbangkan kepada lebih banyak tempat namun mengakui sumber kewangan agak terhad.

“Kami cuba merendahkan kos seminimum mungkin memandangkan barangan ini akan dilupuskan selepas sekali guna, untuk pelindung muka, kami berjaya menghasilkannya dengan harga RM2 seunit.

“Namun, dengan dana sendiri, memang agak sukar untuk hasilkan lebih banyak. Kami alu-alukan jika ada pihak sudi menyumbang.

“Semoga sumbangan kecil kita mampu memberi impak besar sekali gus dan menyelamatkan ribuan nyawa di luar sana,” katanya.

Sumbangan bagi tujuan penghasilan PPE oleh Adtec Melaka boleh dibuat menerusi akaun CIMB Bank bernombor 8602340223 atas nama Kelab Alumni Adtec Melaka.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Setiausaha Kelab, Nurul di talian 013-7155084 atau Bendahari Kelab, Izah di talian 012-3247369.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:07pm
    d