mutakhir

PKP sukarkan sindiket pembalakan haram

Oleh Zaid Salim

SPESIS balak berusia 150 tahun dirampas dalam Operasi Pembalakan Haram Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang mengakibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM100,000.

Kayu balak bermutu tinggi dari jenis meranti seraya, kapur dan keruing itu dirampas di tiga kawasan Hutan Simpan (HS) iaitu HS Pelagat dan HS Hulu Besut di Besut dan HS Rasau Kerteh di Dungun.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Muhamad Abdullah berkata, semua balak berukuran 100 hingga 250 meter padu itu ditemui dalam kawasan HS terbabit dalam operasi yang dijalankan pada Khamis, Jumaat dan semalam antara 10 hingga 11 pagi.

“Rampasan pertama dilakukan di HS Pelagat, Besut membabitkan rampasan sebanyak 40 batang balak yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Rampasan kedua di HS Hulu Besut sebanyak 30 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM25,000 dan rampasan ketiga di HS Rasau Kerteh sebanyak 90 batang dianggarkan bernilai RM45,000,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya semua balak berkenaan ditebang kira-kira seminggu lalu dan menunggu masa untuk dikeluarkan.

“Kawalan ketat pergerakan yang dijalankan pihak berkuasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dipercayai memberi kesukaran untuk membawa balak berkenaan keluar dari kawasan hutan,” katanya.

Muhammad berkata, berikutan jumlah rampasan yang banyak, pihaknya tidak menolak kemungkinan jenayah hutan itu dilakukan secara sindiket.

Beliau berkata, pihaknya percaya dalam tempoh kawalan pergerakan ini, penceroboh mengambil peluang menceroboh kawasan hutan kerana beranggapan kurang pengawasan dari pihak berkuasa.

“Kita tidak menolak pencerobohan membabitkan individu dalam kalangan penduduk tempatan berlaku dalam tempoh PKP ini dan kita sentiasa meningkatkan pengawasan, pemantauan dan operasi dengan tumpuan bukan saja diberikan di kawasan panas,” katanya.

Katanya, pihaknya kini sedang giat memburu penceroboh terbabit khususnya yang membabitkan tiga kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:08pm
d